AKTA PERKONGSIAN 1961
Suatu Akta berhubungan dengan perkongsian.
[Sabah—29 April 1961;
Negeri-Negeri lain—1 Julai 1974; Akta A240.]
BAHAGIAN I
PERMULAAN
Tajuk ringkas
1.Akta ini bolehlah dinamakan Akta Perkongsian 1961.
Tafsiran
2.Dalam Akta ini—
“kebankrapan” ertinya—
(a)menjadi perkara dalam suatu perintah penghukuman di
bawah Akta Kebankrapan 1967 [Akta 360];
(b)membuat perkiraan untuk membayar kepada pemiutang
amaun yang kurang daripada amaun sepenuhnya yang
terhutang; atau
(c)mati dalam keadaan tidak solven;
“urusan” termasuk tiap-tiap tred, pekerjaan atau profesion.
BAHAGIAN II
SIFAT PERKONGSIAN
Takrif perkongsian
3.(1) Perkongsian ialah perhubungan yang wujud antara orang
yang menjalankan urusan bersama dengan tujuan mendapat
keuntungan
(2) Perhubungan antara anggota sesuatu syarikat atau persatuan
yang—(a)didaftarkan sebagai syarikat di bawah Akta Syarikat 1965
[Akta 125] atau sebagai koperasi di bawah mana-mana undang-undang bertulis berhubungan dengan koperasi; atau
(b)ditubuhkan atau diperbadankan oleh atau menurut—
(i) mana-mana undang-undang lain yang berkuat kuasa
di Malaysia atau mana-mana bahagiannya; atau
(ii) sesuatu surat kurnia, Piagam Diraja atau Akta
Parlimen United Kingdom,
bukanlah suatu perkongsian mengikut pengertian Akta ini.
Keadaan tertentu yang bukan perkongsian prima facie
4.Bagi menentukan sama ada suatu perkongsian itu wujud atau
tidak, perhatian hendaklah diberikan kepada kaedah yang berikut:
(a)penyewaan bersama, tenancy in common, harta bersama,
harta am, atau pemunyaan separa tidak dengan sendirinya mewujudkan suatu perkongsian tentang apa-apa jua yang dipegang atau dipunyai sedemikian, sama ada penyewa atau pemunya itu berkongsi atau tidak berkongsi apa-apa keuntungan yang diperoleh melalui penggunaannya;
(b)perkongsian pulangan kasar tidak dengan sendirinya
mewujudkan suatu perkongsian, sama ada orang yang berkongsi pulangan sedemikian mempunyai atau tidak mempunyai hak atau kepentingan bersama atau am dalam apa-apa harta yang daripadanya atau yang daripada penggunaannya pulangan itu diperoleh;
(c)penerimaan oleh seseorang akan suatu bahagian daripada keuntungan urusan ialah keterangan prima facie bahawa dia seorang pekongsi dalam urusan itu, tetapi penerimaan bahagian itu, atau sesuatu bayaran yang kontingen atas atau berubah mengikut keuntungan sesuatu urusan tidak dengan sendirinya menjadikannya seorang pekongsi dalam urusan itu; dan khususnya—
(i) penerimaan oleh seseorang akan suatu hutang atau amaun jumlah tertentu lain, secara ansuran atau selainnya, daripada keuntungan yang terakru bagi sesuatu urusan tidak dengan sendirinya menjadikan dia seorang pekongsi dalam urusan itu atau bertanggungan sedemikian;
(ii) suatu kontrak bagi saraan seorang pengkhidmat atau ejen seseorang yang melibatkan diri dalam sesuatu urusan dengan menerima suatu bahagian daripada keuntungan urusan itu tidak dengan sendirinya menjadikan pekhidmat atau ejen itu seorang pekongsi dalam urusan itu atau bertanggungan sedemikian;
(iii) seseorang yang sebagai balu atau anak kepada pekongsi yang telah mati, dan yang menerima melalui anuiti suatu bahagian daripada keuntungan yang diperoleh dalam urusan yang dalamnya si mati merupakan seorang pekongsi, bukan, disebabkan hanya oleh penerimaan sedemikian, seorang pekongsi dalam urusan itu atau bertanggungan sedemikian;
(iv) pendahuluan wang secara pinjaman kepada seseorang yang melibatkan diri atau yang hampir melibatkan diri dalam apa-apa urusan atas suatu kontrak dengan orang itu bahawa pemberi pinjaman hendaklah menerima kadar faedah yang berubah mengikut keuntungan, atau hendaklah menerima suatu bahagian daripada keuntungan, yang timbul daripada menjalankan urusan itu, tidak dengan sendirinya menjadikan pemberi pinjaman itu seorang pekongsi dengan orang yang menjalankan urusan itu atau bertanggungan sedemikian: Dengan syarat bahawa kontrak itu secara bertulis dan ditandatangani oleh atau bagi pihak semua pihak kepadanya; dan
(v) seseorang yang menerima, melalui anuiti atau selainnya, suatu bahagian daripada keuntungan sesuatu urusan sebagai balasan kepada jualan olehnya akan nama baik urusan bukan, disebabkan hanya oleh penerimaan sedemikian, seorang pekongsi dalam urusan itu atau bertanggungan sedemikian.
Penundaan hak seseorang yang memberi pinjaman atau menjual sebagai balasan kepada bahagian keuntungan dalam hal kebankrapan
5.Sekiranya berlaku kebankrapan atas seseorang yang kepadanya
wang telah didahulukan melalui pinjaman atas suatu kontrak sebagaimana yang disebut dalam subperenggan 4(c)(iv), atau kebankrapan seseorang pembeli nama baik sebagai balasan bagi suatu bahagian daripada keuntungan urusan itu, pemberi pinjaman itu tidak berhak mendapat apa-apa jua berkenaan dengan pinjamannya, dan penjual nama baik itu tidak berhak mendapat apa-apa jua berkenaan dengan bahagian keuntungan yang dikontrakkan, sehingga tuntutan pemiutang lain peminjam atau pembeli bagi balasan bernilai dalam bentuk wang atau nilaian wang itu telah diselesaikan.
Erti firma dan nama firma
6.Orang yang telah mengikat perkongsian antara satu sama lain,
bagi maksud Akta ini, dipanggil secara kolektif sebagai suatu firma, dan nama yang di bawahnya urusan mereka dijalankan adalah dipanggil nama firma.
BAHAGIAN III
HUBUNGAN PEKONGSI DENGAN ORANG YANG
BERURUSAN DENGAN MEREKA
Kuasa pekongsi untuk mengikat firma
7.Tiap-tiap pekongsi ialah ejen firma dan pekongsinya yang lain
bagi maksud urusan perkongsian itu; dan tindakan tiap-tiap pekongsi yang melakukan apa-apa tindakan bagi perjalanan biasa urusan daripada jenis yang dijalankan oleh firma itu yang dia ialah seorang anggota mengikat firma itu dan pekongsinya, melainkan jika pekongsi yang bertindak sedemikian sebenarnya tidak mempunyai kuasa untuk bertindak bagi firma itu dalam perkara tertentu itu, dan orang yang dengannya dia berurusniaga sama ada mengetahui bahawa dia tidak mempunyai kuasa atau tidak mengetahui atau mempercayainya sebagai seorang pekongsi.
Pekongsi terikat dengan tindakan bagi pihak firma
8.Sesuatu tindakan atau surat cara yang berhubungan dengan
urusan firma itu dan dilakukan atau disempurnakan atas nama- firma itu, atau dengan apa-apa cara lain yang menunjukkan niat untuk mengikat firma itu, oleh mana-mana orang yang diberi kuasa, sama ada seorang pekongsi atau tidak, mengikat firma itu dan semua pekongsinya:
Dengan syarat bahawa seksyen ini tidak menyentuh mana-mana kaedah am undang-undang berhubungan dengan penyempurnaan surat ikatan atau surat cara boleh niaga.
Pekongsi yang menggunakan kredit firma bagi maksud
persendirian
9.Jika seorang pekongsi menyandarkan kredit firma itu bagi
maksud yang pada zahirnya tidak berkaitan dengan penjalanan biasa urusan firma itu, firma itu tidak terikat, melainkan jika pekongsi itu sebenarnya diberi kuasa secara khusus oleh pekongsi lain; tetapi seksyen ini tidak menyentuh apa-apa liabiliti persendirian yang ditanggung oleh seseorang pekongsi individu.
Kesan notis bahawa firma tidak akan terikat dengan tindakan
pekongsi
10.Jika telah dipersetujui antara pekongsi bahawa apa-apa sekatan
hendaklah dikenakan pada kuasa mana-mana seorang atau beberapa pekongsi untuk mengikat firma itu, tiada apa jua tindakan yang dilakukan berlanggaran dengan persetujuan itu boleh mengikat firma itu berkenaan dengan orang yang mempunyai makluman mengenai persetujuan itu.
Liabiliti pekongsi
11.Tiap-tiap pekongsi sesuatu firma bertanggungan secara
bersesama dengan pekongsi lain bagi segala hutang dan obligasi firma itu yang dilakukan semasa dia seorang pekongsi; dan selepas kematiannya harta pusakanya juga bertanggungan secara berasingan dalam penjalanan wajar pentadbiran bagi hutang dan obligasi itu, selagi ia tidak dijelaskan tetapi tertakluk kepada pembayaran sebelumnya akan hutang berasingannya.
Liabiliti firma kerana salah
12.Jika, melalui apa-apa tindakan salah atau peninggalan mana-
mana pekongsi yang bertindak dalam penjalanan biasa urusan firma itu atau dengan kuasa pekongsi bersamanya, kerugian atau kecederaan berlaku ke atas mana-mana orang yang bukannya seorang pekongsi dalam firma itu, atau sesuatu penalti tertanggung, firma itu bertanggungan baginya setakat yang sama dengan pekongsi yang telah bertindak atau ketinggalan untuk bertindak sedemikian.
Menyalahgunakan wang atau harta yang diterima untuk atau
dalam penjagaan firma
13.Dalam keadaan yang berikut, iaitu:
(a)jika seorang pekongsi, yang bertindak dalam skop kuasa
zahirnya, menerima wang atau harta orang ketiga dan
menyalahgunakannya; dan
(b)jika suatu firma dalam penjalanan urusannya menerima
wang atau harta orang ketiga, dan wang atau harta yang diterima sedemikian disalahgunakan oleh seorang atau beberapa pekongsi semasa wang atau harta itu berada dalam jagaan firma itu,
firma itu adalah bertanggungan untuk mengganti kerugian itu.
Liabiliti kerana salah bersesama dan berasingan
14.Tiap-tiap pekongsi bertanggungan secara bersesama dengan
pekongsi bersamanya dan juga bertanggungan secara berasingan bagi segala yang firma itu menjadi bertanggungan di bawah seksyen 12 atau 13 semasa dia menjadi seorang pekongsi dalamnya.
Penggunaan tak wajar harta amanah bagi maksud perkongsian
15.Jika seorang pekongsi, selaku pemegang amanah, menggunakan
secara tidak wajar harta amanah dalam urusan atau bagi pihak perkongsian itu, tiada pekongsi lain pun bertanggungan bagi harta amanah itu kepada orang yang mempunyai kepentingan benefisial dalamnya:
Dengan syarat seperti yang berikut:
(a)seksyen ini tidak menyentuh apa-apa liabiliti yang
ditanggung oleh mana-mana pekongsi oleh sebab dia mempunyai makluman mengenai suatu pecah amanah; dan
(b)tiada apa-apa jua dalam seksyen ini boleh mencegah wang
amanah daripada diikuti dan didapatkan daripada firma itu, jika wang amanah itu masih berada dalam milikan atau di bawah kawalannya.
Orang yang bertanggungan dengan “mengemukakan diri”
16.Tiap-tiap orang yang dengan perkataan yang dilafazkan atau
dituliskan atau dengan tingkah lakunya menggambarkan dirinya, atau yang dengan disedarinya membiarkan dirinya, digambarkan, sebagai seorang pekongsi dalam suatu firma tertentu bertanggungan sebagai seorang pekongsi kepada sesiapa yang dengan mempercayai mana-mana representasi sedemikian telah memberi kredit kepada firma itu, sama ada representasi itu telah atau belum dibuat atau disampaikan kepada orang yang memberi kredit sedemikian oleh atau dengan pengetahuan pekongsi zahir yang membuat representasi itu atau membiarkannya dibuat:
Dengan syarat bahawa jika, selepas kematian seorang pekongsi, urusan perkongsian itu diteruskan atas nama firma yang lama, penggunaan berterusan nama itu atau nama pekongsi yang telah mati itu sebagai sebahagian daripadanya tidak dengan sendirinya menjadikan harta atau benda wasi atau pentadbir bagi pekongsi yang telah mati itu bertanggungan bagi apa-apa hutang perkongsian yang dilakukan selepas kematiannya.
Pengakuan dan representasi pekongsi
17.Sesuatu pengakuan atau representasi yang dibuat oleh mana-
mana pekongsi berkenaan dengan hal-ehwal perkongsian itu, dan dalam penjalanan biasa urusannya, ialah keterangan terhadap firma itu.
Notis kepada pekongsi yang bertindak menjadi notis kepada
firma
18.Notis kepada mana-mana pekongsi yang lazimnya bertindak
dalam urusan perkongsian bagi apa-apa perkara yang berhubungan dengan hal-ehwal perkongsian berkuat kuasa sebagai notis kepada firma itu, kecuali dalam hal fraud ke atas firma yang dilakukan oleh atau dengan persetujuan pekongsi itu.
Liabiliti pekongsi yang hendak masuk dan yang akan keluar
19.(1) Seseorang yang diterima masuk sebagai pekongsi dalam
suatu firma yang sedia ada tidak oleh sebab itu menjadi bertanggungan kepada pemiutang firma itu bagi apa-apa jua yang dilakukan sebelum dia menjadi pekongsi.
(2) Seseorang pekongsi yang bersara daripada suatu firma tidak oleh sebab itu terhenti daripada bertanggungan ke atas hutang atau obligasi perkongsian yang dilakukan sebelum persaraannya.
(3) Seseorang pekongsi yang bersara boleh dilepaskan daripada mana-mana tanggungan yang sedia ada oleh suatu perjanjian yang dibuat bagi maksud itu antara dirinya dengan anggota firma itu sebagai baru ditubuhkan dengan pemiutang, dan perjanjian ini boleh sama ada dibuat secara nyata atau disimpulkan sebagai hakikat daripada penjalanan urusniaga antara pemiutang dengan firma itu sebagai baru ditubuhkan.
Pembatalan gerenti berterusan oleh perubahan dalam firma
20.Suatu gerenti berterusan yang diberikan sama ada kepada
suatu firma atau kepada orang ketiga berkenaan dengan transaksi sesuatu firma, jika sekiranya tidak ada perjanjian sebaliknya, terbatal bagi transaksi masa depan oleh apa-apa perubahan dalam keanggotaan firma itu yang kepadanya, atau firma yang berkenaan dengan transaksi yang mengenainya, gerenti itu diberikan.
BAHAGIAN IV
HUBUNGAN PEKONGSI SESAMA SENDIRI
Perubahan dengan persetujuan mengenai terma perkongsian
21.Hak dan kewajipan bersama pekongsi, sama ada yang ditentukan
melalui perjanjian atau ditafsirkan oleh Akta ini, boleh diubah dengan persetujuan semua pekongsi, dan persetujuan sedemikian boleh sama ada dibuat secara nyata atau disimpulkan daripada sesuatu penjalanan urusniaga.
Harta perkongsian
22.(1) Segala harta dan hak dan kepentingan dalam harta yang
pada asalnya dibawa ke dalam stok perkongsian atau diperoleh, sama ada melalui pembelian atau selainnya, untuk firma itu atau bagi maksud dan dalam penjalanan urusan perkongsian itu, dipanggildalam Akta ini harta perkongsian dan mestilah dipegang dan digunakan oleh pekongsi secara eksklusif bagi maksud perkongsian itu dan menurut perjanjian perkongsian:
Dengan syarat bahawa harta atau kepentingan di sisi undang- undang dalam mana-mana tanah kepunyaan perkongsian itu hendaklah diturunkan mengikut jenis dan tempohnya dan kaedah undang- undang am yang terpakai baginya tetapi atas amanah, setakat yang perlu, bagi orang yang mempunyai kepentingan benefisial dalam tanah itu di bawah seksyen ini.
(2) Jika pemunya bersama sesuatu harta atau kepentingan dalam mana-mana tanah, yang bukan dengan sendirinya merupakan harta perkongsian, ialah pekongsi keuntungan yang diperoleh daripada penggunaan tanah itu, dan membeli tanah lain daripada keuntungan yang hendak digunakan dengan cara yang sama, tanah yang dibeli sedemikian ialah kepunyaan mereka, jika sekiranya tidak ada apa- apa perjanjian sebaliknya, bukan sebagai pekongsi, tetapi sebagai pemunya bersama masing-masingnya harta dan kepentingan yang sama sebagaimana yang dipegang oleh mereka dalam tanah yang mula-mula disebut pada tarikh pembelian itu.
Harta yang dibeli dengan wang perkongsian
23.Melainkan jika terdapat niat sebaliknya, harta yang dibeli
dengan wang kepunyaan firma disifatkan telah dibeli untuk firma
itu.
Menukar tanah yang dipegang sebagai harta perkongsian kepada
harta sendiri
24.Jika tanah atau apa-apa kepentingan dalamnya telah menjadi
harta perkongsian, ia hendaklah, melainkan jika terdapat niat sebaliknya, dikira antara pekongsi (termasuk wakil seseorang pekongsi yang telah mati), dan juga antara waris seseorang pekongsi yang telah mati dan wasi atau pentadbirnya, sebagai harta sendiri dan bukan harta tanah.
Tatacara terhadap harta perkongsian bagi hutang penghakiman
berasingan pekongsi
25.(1) Suatu writ pelaksanaan tidak boleh dikeluarkan terhadap
mana-mana harta perkongsian kecuali atas suatu penghakiman
terhadap firma itu.
(2) Mahkamah boleh atas permohonan melalui saman oleh mana- mana pemiutang penghakiman seseorang pekongsi, membuat suatu perintah mempertanggungkan kepentingan pekongsi itu dalam harta dan keuntungan perkongsian itu dengan bagi pembayaran amaun hutang penghakiman dan bunga ke atasnya, dan dengan perintah yang sama atau yang berikutnya, boleh melantik seorang penerima bagi bahagian keuntungan pekongsi itu (sama ada telah diisytiharkan atau masih terakru), dan bagi apa-apa wang lain yang akan diterimanya berkenaan dengan perkongsian itu, dan mengarahkan segala akaun dan siasatan, dan memberi segala perintah dan arahan lain, yang mungkin telah diarahkan atau diberikan jika gadaian itu telah dibuat bagi faedah pemiutang penghakiman oleh pekongsi itu, atau yang mengikut kehendak hal keadaan kes.
(3) Pekongsi atau pekongsi lain bebas pada bila-bila masa untuk menebus kepentingan yang digadaikan, atau, jika kepentingan itu diarahkan supaya dijual, untuk membeli kepentingan itu.
Kaedah tentang kepentingan dan kewajipan pekongsi, tertakluk
kepada perjanjian khas
26.Kepentingan pekongsi dalam harta perkongsian, dan hak dan
kewajipan mereka berhubungan dengan perkongsian itu, hendaklah ditentukan, tertakluk kepada apa-apa perjanjian, secara nyata atau tersirat, antara pekongsi itu, oleh kaedah yang berikut:
(a)semua pekongsi adalah berhak berkongsi secara sama
rata modal dan keuntungan urusan itu, dan mestilah membuat sumbangan secara sama rata bagi kerugian, sama ada kerugian modal atau selainnya, yang dialami oleh firma itu;
(b)firma mestilah menanggung rugi tiap-tiap pekongsi
berkenaan dengan bayaran yang dibuat dan liabiliti diri
yang ditanggung olehnya—
(i) dalam penjalanan biasa dan wajar urusan firma itu;
atau
(ii) dalam atau mengenai apa-apa jua yang perlu dilakukan bagi pemeliharaan urusan atau harta firma itu;
(c)seseorang pekongsi yang membuat, bagi maksud
perkongsian, apa-apa bayaran atau pendahuluan sebenar yang melebihi amaun modal yang dia telah bersetuju untuk menyumbang, berhak menerima faedah atas kadar lapan peratus setahun dari tarikh bayaran atau pendahuluan itu;
(d)seseorang pekongsi tidak berhak, sebelum keuntungan
ditentukan, kepada faedah atas modal yang
disumbangkannya;
(e)tiap-tiap pekongsi boleh mengambil bahagian dalam
menguruskan urusan perkongsian itu;
(f)tiada seorang pun pekongsi berhak menerima saraan kerana
bertindak dalam urusan perkongsian itu;
(g)tiada seorang pun boleh diterima sebagai seorang pekongsi
tanpa persetujuan semua pekongsi yang ada;
(h)apa-apa perselisihan yang timbul tentang perkara biasa
yang berkaitan dengan urusan perkongsian boleh diputuskan oleh majoriti pekongsi itu, tetapi tiada perubahan boleh dibuat bagi jenis urusan perkongsian itu tanpa persetujuan semua pekongsi yang ada; dan
(i)buku perkongsian hendaklah disimpan di tempat urusan
perkongsian (atau di tempat utama, jika ada lebih daripada satu tempat) dan tiap-tiap pekongsi, apabila difikirkannya patut, boleh ada akses kepada dan memeriksa dan menyalin mana-mana buku itu.
Pemecatan pekongsi
27.Majoriti daripada pekongsi tidak boleh memecat mana-mana
pekongsi, melainkan jika kuasa untuk berbuat sedemikian telah
diberikan melalui persetujuan nyata antara pekongsi itu.
Bersara daripada perkongsian mengikut kehendak
28.(1) Jika tiada tempoh tetap dipersetujui bagi jangka masa
perkongsian itu, mana-mana pekongsi boleh menamatkan perkongsian itu pada bila-bila masa dengan memberi notis mengenai niatnya untuk berbuat demikian kepada semua pekongsi lain.
(2) Jika pada asalnya perkongsian itu telah ditubuhkan melalui dokumen bertulis, suatu notis bertulis, yang ditandatangani oleh pekongsi yang memberinya, adalah mencukupi bagi maksud ini.
Jika perkongsian bagi tempoh diteruskan, penerusan atas terma
lama dianggapkan
29.(1) Jika suatu perkongsian yang dibuat bagi suatu tempoh
tetap diteruskan setelah habis tempoh itu, dan tanpa apa-apa perjanjian baru yang nyata, hak dan kewajipan pekongsi adalah sama seperti pada masa tempoh itu habis, setakat yang selaras dengan insiden perkongsian mengikut kehendak.
(2) Penerusan urusan oleh pekongsi atau mana-mana daripada mereka yang lazimnya bertindak dalamnya semasa tempoh itu, tanpa apa-apa penyelesaian atau likuidasi akan hal ehwal perkongsian, dianggap sebagai penerusan perkongsian itu.
Kewajipan pekongsi untuk memberikan akaun, dsb.
30.Pekongsi terikat untuk memberikan akaun yang benar dan
maklumat penuh mengenai segala benda yang melibatkan perkongsian itu kepada mana-mana pekongsi atau wakilnya di sisi undang- undang.
Kebertanggungjawapan pekongsi atas keuntungan persendirian
31.(1) Tiap-tiap pekongsi mestilah menjelaskan kepada firma
bagi apa-apa faedah yang diperolehinya, tanpa persetujuan pekongsi lain, daripada apa-apa transaksi berkenaan dengan perkongsian itu atau daripada apa-apa penggunaan olehnya akan harta, nama atau hubungan urusan perkongsian itu.
(2) Seksyen ini juga terpakai bagi transaksi yang dijalankan setelah sesuatu perkongsian dibubarkan dengan kematian seorang pekongsi, dan sebelum hal ehwal perkongsian itu digulungkan sepenuhnya, sama ada oleh mana-mana pekongsi yang menakat atau oleh wakil pekongsi yang telah mati.
Kewajipan pekongsi supaya tidak bertanding dengan firma
32.Jika seseorang pekongsi, tanpa persetujuan pekongsi lain,
menjalankan apa-apa urusan yang sama jenisnya dan bertanding dengan urusan firma itu, dia mesti menjelaskan dan membayar kepada firma itu segala keuntungan yang diperolehinya dalam urusan itu.
Hak pemegang serahhak terhadap bahagian dalam perkongsian
33.(1) Suatu penyerahhakan oleh mana-mana pekongsi akan
bahagiannya dalam perkongsian, sama ada secara mutlak atau melalui gadai-janji atau gadaian boleh tebus, tidak akan, terhadap pekongsi lain, memberi hak kepada pemegang serahhak itu, semasa perkongsian itu berterusan, untuk campur tangan dalam pengurusan atau pentadbiran urusan atau hal ehwal perkongsian itu, atau untuk menghendaki apa-apa akaun mengenai transaksi perkongsian itu, atau untuk memeriksa buku perkongsian itu, tetapi hanya memberi pemegang serahhak hak untuk menerima bahagian keuntungan yang selainnya berhak diterima oleh pekongsi yang menyerahhakkan itu, dan pemegang serahhak itu mesti menerima akaun keuntungan yang dipersetujui oleh pekongsi.
(2) Dalam hal suatu pembubaran perkongsian, sama ada berkenaan dengan semua pekongsi atau berkenaan dengan pekongsi yang menyerahhakkan, pemegang serahhak berhak menerima bahagian aset perkongsian yang pekongsi yang menyerahhakkan itu adalah berhak kepadanya antara dirinya dengan pekongsi lain, dan, bagi maksud menentukan bahagian itu, dia berhak menerima suatu akaun dari tarikh pembubaran itu.
BAHAGIAN V
PEMBUBARAN PERKONGSIAN DAN AKIBATNYA
Pembubaran kerana habis tempoh atau notis
34.(1) Tertakluk kepada apa-apa perjanjian antara pekongsi, sesuatu
perkongsian dibubarkan—
(a)jika dibuat bagi suatu tempoh tetap, dengan habisnya
tempoh itu;
(b)jika dibuat bagi suatu usaha atau pengusahaan tunggal,
dengan penamatan usaha atau pengusahaan itu; atau
(c)jika dibuat bagi suatu masa yang tak ditentukan, dengan
mana-mana pekongsi memberikan notis kepada pekongsi lain mengenai niatnya untuk membubarkan perkongsian itu.
(2) Dalam hal yang akhir disebut itu, perkongsian itu terbubar mulai dari tarikh yang disebut dalam notis itu sebagai tarikh pembubaran, atau, jika tiada tarikh disebutkan, mulai dari tarikh penyampaian notis itu.
Pembubaran kerana kebankrapan, kematian atau penggadaian
35.(1) Tertakluk kepada apa-apa perjanjian antara pekongsi, tiap-
tiap perkongsian terbubar berkenaan dengan semua pekongsi dengan
kematian atau kebankrapan mana-mana pekongsi.
(2) Sesuatu perkongsian, atas opsyen pekongsi lain, boleh dibubarkan jika mana-mana pekongsi membiarkan bahagian harta perkongsiannya digadaikan di bawah Akta ini bagi hutangnya yang berasingan.
Pembubaran kerana perkongsian menyalahi undang-undang
36.Suatu perkongsian dalam tiap-tiap hal terbubar dengan
berlakunya apa-apa kejadian yang menjadikannya menyalahi undang- undang bagi urusan firma itu dijalankan atau bagi anggota firma itu menjalankannya secara perkongsian.
Pembubaran oleh mahkamah
37.Atas permohonan oleh seseorang pekongsi, mahkamah boleh
mendekrikan suatu pembubaran perkongsian dalam mana-mana
hal yang berikut:
(a)apabila seseorang pekongsi didapati gila atau diperlihatkan,
sehingga mahkamah berpuas hati, sebagai tidak sempurna akal secara kekal, dalam mana-mana satu hal itu permohonan boleh juga dibuat bagi pihak pekongsi itu oleh jawatankuasanya, atau sahabat wakilnya, atau orang yang mempunyai hak untuk campur tangan sebagaimana mana-mana seseorang pekongsi lain;
(b)apabila seseorang pekongsi, selain daripada pekongsi yang
membawa guaman, menjadi dengan apa-apa cara lain tidak upaya secara kekal untuk melaksanakan bahagiannya bagi kontrak perkongsian itu;
(c)apabila seseorang pekongsi, selain daripada pekongsi yang
membawa guaman, telah bersalah atas apa-apa kelakuan, yang pada pendapat mahkamah, dengan mengambil perhatian akan jenis urusan itu, dikira akan menjejaskan penjalanan urusan itu;
(d)apabila seseorang pekongsi, selain daripada pekongsi yang
membawa guaman, dengan sengaja atau dengan kerap memungkiri perjanjian perkongsian atau selainnya berkelakuan sedemikian dalam perkara yang berhubungan dengan urusan perkongsian hingga tidak semunasabahnya praktik bagi pekongsi lain menjalankan urusan perkongsian dengannya;
(e)apabila urusan perkongsian itu hanya boleh dijalankan
dengan kerugian; dan
(f)bila masa dalam apa-apa hal timbul hal keadaan yang,
pada pendapat mahkamah, menjadikannya adil dan saksama
perkongsian itu dibubarkan.
Hak orang yang berurus niaga dengan firma terhadap anggota
zahir firma
38.(1) Jika seseorang itu berurus niaga dengan suatu firma setelah
ada perubahan dalam keanggotaannya, dia berhak menganggap semua anggota zahir firma lama itu sebagai masih menjadi anggota firma itu sehingga dia menerima notis mengenai perubahan itu.
(2) Suatu iklan dalamW a r t a Persekutuan tentang sesuatu firma yang tempat utama urusannya ialah di Malaysia Barat, dalamW a r t a Sabah tentang sesuatu firma yang tempat utama urusannya ialah di Sabah, dan dalamW a r t a Sarawak tentang sesuatu firma yang tempat utama urusannya ialah di Sarawak, hendaklah menjadi notis bagi orang yang tidak ada urusan dengan firma itu sebelum tarikh pembubaran atau perubahan yang diiklankan itu.
(3) Harta pusaka seorang pekongsi yang mati atau yang menjadi bankrap, atau harta pusaka seorang pekongsi yang, dengan tidak diketahui oleh orang yang berurus niaga dengan firma itu sebagai seorang pekongsi, bersara daripada firma itu, tidak bertanggungan masing-masingnya bagi hutang perkongsian yang dilakukan selepas tarikh kematian, kebankrapan atau persaraan itu.
Hak pekongsi untuk memberitahu mengenai pembubaran
39.Atas pembubaran sesuatu perkongsian atau persaraan seseorang
pekongsi, mana-mana pekongsi boleh memberitahu kepada awam mengenai pembubaran atau persaraan itu, dan boleh menghendaki pekongsi lain supaya bersetuju bagi maksud itu dalam segala tindakan yang perlu atau wajar, jika ada, yang tidak boleh dilakukan tanpa persetujuannya.
Kuasa pekongsi berterusan bagi maksud penggulungan
40.Selepas pembubaran sesuatu perkongsian, kuasa setiap pekongsi
untuk mengikat firma itu, dan hak dan obligasi lain pekongsi itu, berterusan, walaupun terdapat pembubaran itu, setakat yang perlu bagi menggulung hal ehwal perkongsian itu, dan untuk menyempurnakan transaksi yang telah dimulakan tetapi belum diselesaikan pada masa pembubaran itu, tetapi tidak sebaliknya:
Dengan syarat bahawa firma itu tidak dalam apa-apa hal pun terikat dengan tindakan seseorang pekongsi yang telah menjadi bankrap; tetapip r o v i s o ini tidak menyentuh liabiliti mana-mana orang yang telah, selepas kebankrapan itu, menggambarkan dirinya atau dengan disedarinya membiarkan dirinya digambarkan sebagai seorang pekongsi sibankrap.
Hak pekongsi tentang penggunaan harta perkongsian
41.Atas pembubaran sesuatu perkongsian, tiap-tiap pekongsi
berhak, terhadap pekongsi lain dalam firma itu dan semua orang yang menuntut melalui mereka berkenaan dengan kepentingan mereka sebagai pekongsi, supaya harta perkongsian itu digunakan bagi membayar hutang dan liabiliti firma itu, dan supaya aset lebihan selepas pembayaran sedemikian digunakan bagi membayar apa- apa yang kena dibayar masing-masingnya kepada pekongsi, setelah menolak apa-apa yang kena dibayar oleh mereka sebagai pekongsi kepada firma itu; dan bagi maksud itu mana-mana pekongsi atau wakilnya, atas penamatan perkongsian itu, boleh memohon kepada mahkamah untuk menggulung urusan dan hal ehwal firma itu.
Pengumpukan premium jika perkongsian dibubarkan secara
pramasa
42.Jika seorang pekongsi telah membayar premium kepada
pekongsi lain apabila memasuki sesuatu perkongsian bagi suatu tempoh tetap, dan perkongsian itu dibubarkan sebelum habis tempoh itu selain daripada dengan kematian seseorang pekongsi, mahkamah boleh memerintahkan pembayaran balik premium itu, atau apa-apa bahagian daripadanya sebagaimana yang difikirkannya adil, setelah mengambil perhatian kepada terma kontrak perkongsian itu dan kepada jangka masa perkongsian itu telah berterusan; melainkan jika—(a)pembubaran itu, mengikut penghakiman mahkamah,
keseluruhannya atau sebahagian besarnya disebabkan oleh
salah laku pekongsi yang membayar premium itu; atau
(b)perkongsian itu telah dibubarkan melalui suatu perjanjian
yang tidak mengandungi peruntukan bagi pemulangan
apa-apa bahagian premium itu.
Hak jika perkongsian dibubarkan kerana fraud atau salah
nyataan
43.Jika sesuatu kontrak perkongsian dibatalkan atas alasan fraud
atau salah nyataan salah satu pihak kepadanya, pihak yang berhak membatalkan kontrak perkongsian itu berhak, tanpa menjejaskan apa-apa hak lain—
(a)kepada lien ke atas, atau hak menyimpan, aset lebihan
perkongsian, setelah menyelesaikan liabiliti perkongsian bagi apa-apa jumlah wang yang dibayar olehnya bagi pembelian suatu bahagian dalam perkongsian itu dan bagi apa-apa modal yang disumbangkan olehnya; dan
(b)mengambil tempat pemiutang firma bagi apa-apa bayaran
yang dibuat olehnya berkenaan dengan liabiliti perkongsian;
dan
(c)ditanggung rugi oleh orang yang bersalah kerana fraud
atau yang membuat salah nyataan terhadap segala hutang
dan liabiliti firma itu.
Hak pekongsi yang akan keluar dalam hal tertentu untuk
berkongsi keuntungan yang diperoleh selepas pembubaran
44.Jika mana-mana anggota sesuatu firma mati atau selainnya
terhenti daripada menjadi seorang pekongsi, dan pekongsi yang menakat atau yang berterusan, menjalankan urusan firma itu dengan modal atau asetnya tanpa apa-apa penyelesaian akaun yang muktamad antara firma dengan pekongsi yang akan keluar atau estetnya, maka, jika tiada apa-apa perjanjian sebaliknya, pekongsi yang akan keluar atau estetnya berhak, atas opsyennya sendiri atau wakilnya, kepada apa-apa bahagian keuntungan yang diperoleh sejak pembubaran itu sebagaimana didapati oleh mahkamah disebabkan oleh penggunaan bahagiannya dalam aset perkongsian itu, atau kepada faedah atas kadar lapan peratus setahun atas amaun bahagiannya dalam aset perkongsian itu:
Dengan syarat bahawa jika, melalui kontrak perkongsian, suatu opsyen diberikan kepada pekongsi yang menakat atau yang berterusan untuk membeli kepentingan seseorang pekongsi yang telah mati atau yang akan keluar, dan opsyen itu digunakan sewajarnya, harta pusaka pekongsi yang mati atau pekongsi yang akan keluar atau estetnya, mengikut mana-mana yang berkenaan, tidak berhak kepada apa-apa bahagian keuntungan selanjutnya atau keuntungan lain; tetapi jika mana-mana pekongsi yang dianggap bertindak dengan menggunakan opsyen itu tidak dalam segala aspek material mematuhi terma opsyen itu, dia bertanggungan untuk menjelaskan di bawah peruntukan terdahulu seksyen ini.
Bahagian pekongsi yang bersara atau yang mati hendaklah
menjadi suatu hutang
45.Tertakluk kepada apa-apa perjanjian antara pekongsi, amaun
yang kena dibayar oleh pekongsi yang menakat atau yang berterusan kepada seorang pekongsi yang akan keluar atau kepada wakil pekongsi yang mati berkenaan dengan bahagian pekongsi yang akan keluar atau yang mati ialah suatu hutang yang terakru pada tarikh pembubaran atau kematian itu.
Kaedah-kaedah bagi pembahagian aset setelah penyelesaian
muktamad akaun
46.Dalam menyelesaikan akaun antara pekongsi selepas
pembubaran perkongsian, kaedah yang berikut hendaklah, tertakluk
kepada apa-apa perjanjian, dipatuhi:
(a)kerugian, termasuk kerugian dan kekurangan modal,
hendaklah terlebih dahulu dibayar daripada keuntungan, kemudian daripada modal dan akhirnya, jika perlu, oleh pekongsi secara individu mengikut kadar yang mereka berhak berkongsi keuntungan; dan
(b)aset firma itu, termasuk jumlahnya, jika ada, yang disumbangkan oleh pekongsi untuk menggantikan kerugian atau kekurangan modal, hendaklah digunakan mengikut cara dan susunan yang berikut:
(i) bagi membayar hutang dan liabiliti firma itu kepada
orang yang bukan pekongsi dalamnya;
(ii) bagi membayar kepada setiap pekongsi mengikut kadar apa yang kena dibayar oleh firma itu kepadanya bagi pendahuluan dengan dibezakan daripada modal;
(iii) bagi membayar setiap pekongsi mengikut kadar apa yang kena dibayar oleh firma kepadanya berkenaan dengan modal; dan
(iv) baki terakhir, jika ada, hendaklah dibahagikan antara pekongsi mengikut kadar yang keuntungan itu boleh dibahagikan.
Kecualian
47.(1) Kaedah-kaedah ekuiti dan common law yang terpakai bagi
perkongsian hendaklah terus berkuatkuasa, kecuali setakat yang ia
tidak selaras dengan peruntukan nyata Akta ini.
(2) Tiada apa-apa jua dalam Akta ini boleh dibaca sebagai membenarkan mana-mana pertubuhan yang mengandungi lebih daripada dua puluh orang ditubuhkan atau menjalankan apa-apa urusan perkongsian yang berlawanan dengan perenggan 14(3)(b) Akta Syarikat 1965 [Akta 125].
No comments:
Post a Comment